Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Amal Bantuan Pesakit dilancarkan



​​

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Azmah Haji Ahad





TUNGKU LINK, Isnin, 25 Ogos. - Orang ramai kini berpeluang untuk menyumbang kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP) Kementerian Kesihatan bermula pada 25 Ogos 2025 melalui dua saluran mudah iaitu Perkhidmatan SMS dengan menaip IHSAN 1 / 5 / 10 / 15 / 20 / 50 / 100 untuk BND1 / BND5 / BND10 / BND15 / BND20 / BND50 / BND100 dan hantar ke 38111.


Sumbangan juga boleh dibuat dengan lebih mudah melalui aplikasi MyDST dengan langkah-langkah berikut dengan menekan butang 'Donation', pilih 'Gov Services' kemudian pilih 'MOH' sesudah itu tekan 'TABP Kementerian Kesihatan' serta pilih jumlah sumbangan yang diinginkan diikuti dengan masukkan 'Security Pin' dan setelah itu selesai.


Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS dan Aplikasi MyDST untuk Kutipan Ihsan bagi TABP Kementerian Kesihatan disempurnakan hari ini oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awa      ng Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Pada majlis berlangsung di Dewan Mutiara Skyline, Bangunan Mutiara Exchange di sini, Ketua Pegawai Eksekutif Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Radin Sufri bin Radin Basiuni dalam alu-aluannya menjelaskan bahawa Pekerja Sosial Perubatan merupakan ahli integral dalam pasukan pelbagai disiplin dalam sistem penjagaan kesihatan.


Menurutnya, mereka menilai keperluan psikososial pesakit, memberikan kaunseling sokongan dan intervensi krisis serta merujuk ke sumber kesihatan atau komuniti yang bersesuaian bagi memastikan kesinambungan penjagaan.


Sejak penubuhan TABP pada 30 Mac 2007, katanya, tabung itu dikendalikan oleh Unit Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan. Ia telah memberikan bantuan segera dan sementara kepada pesakit-pesakit yang memerlukan, tanpa mengira kerakyatan, bangsa atau agama.


Inisiatif ini tambahnya, diwujudkan bagi memastikan pesakit terus mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psikososial, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.


Radin Sufri menyatakan bahawa sejak awal tahun 2024, DST telah bekerjasama rapat dengan Unit Kerja Sosial Perubatan (UKSP) di bawah inisiatif tanggungjawab sosial kami, 'Ihsan Kasih'.


Melalui inisiatif ini, DST telah membantu menyediakan peralatan perubatan dan bekalan kesihatan kepada pesakit-pesakit yang dikenal pasti sebagai golongan kurang berkemampuan oleh para pekerja sosial perubatan.


Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, tambahnya, DST dan UKSP telah bersama-sama menganjurkan dua siri Charity Drive di bawah Ihsan Kasih yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 60 orang pesakit.


Selain itu, ujarnya, DST juga terus menyokong pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan negara melalui sumbangan digital. Antaranya termasuk Zakat Fitrah dan harta melalui Sistem eZakat, SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim, Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim serta SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid di Negara Brunei Darussalam.


“Alhamdulillah, hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi pihak DST melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, dengan pelancaran inisiatif 'crowdfunding' komuniti yang pertama seumpamanya di negara ini bagi menyokong TABP. Melalui Aplikasi MyDST dan talian SMS, insyaaAllah pengguna-pengguna DST akan boleh menyumbang dengan lebih mudah dan berterusan.


“Daripada usaha ini, dan dengan sokongan padu daripada Kementerian Kesihatan, hasrat kami adalah untuk memperluaskan inisiatif ini kepada semua lapisan masyarakat dengan menyediakan platform sumbangan yang mudah diakses. Kami percaya dengan cara ini, lebih ramai akan dapat bersama-sama menyalurkan ihsan dan membantu pesakit-pesakit yang memerlukan," katanya lagi.


Inisiatif 'crowdfunding' komuniti ini Radin Sufri menambah, mencerminkan komitmen kami untuk memastikan digitalisasi adalah inklusif bagi semua lapisan masyarakat. Dengan itu, kita bukan sahaja menyokong pesakit yang memerlukan, tetapi juga memperkukuh asas bagi membina sebuah ekonomi digital yang mampan dan kohesif.


DST jelasnya, berasa amat berbesar hati menjadi peneraju pertama dalam menyediakan saluran digital ini, izinkan saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, khususnya Unit Kerja Sosial Perubatan, atas dedikasi dan kerjasama yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini dan kemudiannya berharap semoga usaha itu akan terus membawa manfaat besar kepada masyarakat dan menjadi sumber keberkatan buat semua pihak.


Sejurus pelancaran tersebut, tayangan klip video dipersembahkan yang memaparkan tujuan kutipan Tabung, diikuti dengan video kedua yang menunjukkan langkah demi langkah cara untuk membuat sumbangan melalui aplikasi MyDST dan SMS. TABP telah pun dilancarkan pada 30 Mac 2007 dan dikendalikan oleh Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan.


Tabung untuk bantuan serta merta dan secara sementara kepada pesakit yang dirujuk ke Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan untuk memastikan pesakit akan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial demi meningkatkan kualiti hidup mereka.


Turut hadir pada majlis ini ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, wakil-wakil dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jerudong Park Medical Centre, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan serta DST.


Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (Medical Social Work - MSW) menerusi talian Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha +673 2242424 sambungan 5809 atau talian Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait +673 3335331 sambungan 4224 / 4227 atau talian Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong +673 4221010 sambungan 174 / 175 atau melalui e-mel 'msw@moh.gov.bn'.

Close